PUASA BUKAN BUDAYA BANGSA
Sebanyak 89 kali al-Quran memanggil dengan seruan ‘Ya ayyuha al-lazina amanuu’ atau pun “Wahai mereka yang beriman”. Panggil itu tidak menyebut nama khusus, tetapi menyebut nilai yang dimiliki oleh pihak yang diseru. Apabila Allah SWT memanggil “Wahai mereka yang beriman” bererti sesiapa sahaja yang merasai dia tergolong dalam kumpulan tersebut terpanggil untuk mendengar arahan dan mematuhinya. Sama keadaannya apabila kita memakai pakaian berwarna tertentu, lalu ada orang memanggil “wahai semua yang memakai baju putih”, umpamanya. Sudah pasti kita akan menoleh kepada yang memanggil dan melihat diri kita semula apakah kita yang dimaksudkan itu. Setelah kita sedar bahawa kita memang memakai baju putih dan kita termasuk dalam seruan itu maka kita pasti akan memberikan perhatian. Apatah lagi jika panggilan itu dari pihak yang berjasa kepada hidup kita, yang kita sanjung dan hormati. Cuma menjadi masalah jika kita tidak sedar bahawa kita ini memakai baju putih, atau pun kita sedar bahawa baju kita tidak putih, maka seruan itu menjadi tiada berkaitan dengan kita.
"Panggilan Iman"
Apabila Allah SWT menyeru dalam al-Quran dengan panggilan “Wahai mereka yang beriman” maka kita pun memerhatikan semula diri kita. Apakah kita ini termasuk dalam kalangan tersebut atau pun tidak. Setelah kita pasti bahawa kita termasuk, maka kita pun menunggu arahan yang seterusnya. Melainkan jika kita merasakan yang kita tidak termasuk, atau pun jika terlupa bahawa kita ini tergolong dalam golongan itu. Jika sampai terlupa, mungkin kita sudah terhakis banyak ciri tersebut.
Antara yang Allah SWT seru dengan panggilan “Wahai mereka yang beriman” ialah dalam arahan berpuasa pada Bulan Ramadan. Firman Allah SWT: (maksudnya) “Wahai mereka yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”. (Surah al-Baqarah 183). Inilah titik tolak puasa bagi setiap mukmin.
Setiap mukmin berpuasa kerana panggilan ini. Mereka berpuasa kerana merasakan panggilan itu membabitkan diri mereka. Mereka termasuk dalam seruan tersebut. Tidak kerana orang ramai berpuasa, tidak kerana ia suatu budaya yang diamalkan (practised culture) yang sudah menjadi kebiasaan yang dilakukan, tanpa sedar tentang hakikat dan nilai. Ia tidak sama seperti membuat ketupat dan rendang menjelang hari raya. Itu budaya sesuatu bangsa yang diamalkan secara turun temurun tanpa perlu berfikir sebabnya. Ia sekadar memeriahkan suasana hari raya bagi masyarakat Melayu. Sementara masyarakat lain mempunyai budaya yang lain pula. Namun puasa tidak demikian. Ia bukan budaya, tetapi ia satu arahan ibadah dari Yang Maha Agung. Jika ditakdirkan kita berada di suatu tempat atau pun zaman yang tiada siapa pun yang berpuasa, kita tetap akan berpuasa selagi mana kita mengiktiraf bahawa kita ini "beriman" kepada Allah SWT.
"Merentasi Budaya"
Jenis makanan dan hidangan semasa berbuka puasa mungkin ada kaitan dengan budaya sesuatu bangsa. Selepas sunat memakan rutab (tamar), setiap bangsa mempunyai makanan mereka yang tersendiri. Daripada sudut menu makanan, orang Melayu mungkin lain daripada orang Cina dan India, juga orang Arab dan selainnya, serta demikian juga dengan bangsa-bangsa yang lain. Namun arahan, peraturan dan ibadah sepanjang Ramadan itu tidak berpaksikan kepada budaya bangsa, tetapi ia merentasi setiap budaya dan setiap bangsa. Ia untuk manusia yang berpaksikan Tuhan sekalian alam (Allah SWT centric).
Betapa bahagianya kita apabila merasakan seruan langit yang terkandung dalam Kitab Allah SWT al-Quran membabitkan diri kita. Betapa bangganya untuk dirasakan, apabila Allah SWT memanggil “Wahai mereka yang beriman”, kemudian diri kita ini termasuk dalam panggilan itu. Bayangkan, betapa ruginya mereka yang dipinggirkan daripada senarai panggilan yang mulia itu. Setiap orang berbangga apabila ada pihak tertinggi lagi mulia memasukkan namanya dalam senarai yang dipuji. Betapa kita akan merasa rendah diri dan kecewa apabila ketika orang yang tersenarai dalam panggilan yang dipuji, tetapi diri kita tidak disenaraikan. Demikian dalam menyahut seruan berpuasa ini, ia satu kebahagiaan. Ia menjadi satu ke‘izzah’an (kemuliaan) untuk kita sebagai hamba Allah SWT yang mukmin.
Di samping itu, seruan tersebut juga telah menghubungkan kita dengan seluruh manusia lain yang memakai sifat yang sama iaitu "iman". Di mana sahaja manusia yang kita temui, tanpa mengira budaya, bangsa, tempat dan keturunan akan berpuasa seperti kita. Mereka menyahut seruan yang sama. Seruan yang tidak bercirikan budaya, bangsa, tempat dan keturunan. Sebaliknya hanya atas sifat yang sama iaitu "iman". Ia merentasi segala sempadan budaya, bangsa, tempat dan keturunan. Maka dengan itu, menjelang Ramadan, di mana sahaja kita berada, kita melihat mereka yang sama dengan kita di sudut "keimanan kepada Allah SWT" akan menyahut seruan ini. Dengan persamaan ciri, ia dapat menautkan cinta dan kasih sesama mukmin. Beradalah kita di mana sahaja atas muka bumi ini, jika ada yang mukmin nescaya kita akan dapati dia akan berpuasa seperti kita. Maka kasih kita akan tertumpah kepadanya tanpa kita membatasi budaya, bangsa, tempat dan keturunan.
SOLAT ATAU MAKAN DAHULU?
Dalam Bulan Ramadan atau pun ketika berbuka puasa, soalan ‘solat dulu atau pun makan dahulu’ sering kedengaran.
Ini terutama dalam kalangan keluarga yang ada ramai ahli, terutama anak-anak yang masih kecil yang dilatih berpuasa. Persoalan ini juga kedengaran apabila kita dijemput untuk berbuka puasa di rumah orang lain yang ingin melayan kita.
"Makan Dahulu"
Ada orang menyangka bahawa sekali pun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada, yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi SAW kita akan dapati penegasan adalah sebaliknya. Antaranya, hadis daripada Anas bin Malik r.a.; bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan Solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin Umar, baginda SAW. bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (Jemaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan sehingga beliau selesai makan, walau pun beliau mendengar bacaan imam.
Hikmat daripada arahan Nabi SAW agar mendahulukan makan ialah, agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat. Ini boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang. Dengan itu, para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada Solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan; “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan (kekhusyukan) solat”.
Dalam Faidh al-Qadir Al-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya: “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum Solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya kesempurnaan (kekhusyukan) solat.”
"Salah Faham"
Ini bukan bererti kita mengutamakan makan daripada solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kesempurnaan solat. Hal yang sama apabila kita dilarang bersolat dalam keadaan ingin membuang air besar atau pun air kecil. Nabi bersabda: “Tiada solat (jangan dirikan solat) dalam keadaan makanan terhidang dan dalam keadaan menahan air besar atau air kecil”. (Riwayat Muslim). Ini bukanlah bererti kita menganggap buang air besar dan kecil itu lebih utama daripada solat, sebaliknya mendahului kedua perkara itu demi menjaga kepentingan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah SWT agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan (kekhusyukan). Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi SAW. Maka apabila makanan terhidang, ibu bapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.
Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah, lalu gagal bersolat dengan sempurna.
"Tidak Makruh"
Di sana ada cara untuk mengelakkan makruh ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.
Juga, sudah pasti tidak makruh bersolat sekali pun makanan sudah terhidang, tetapi keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca ‘illah (larangan) bersolat semasa makanan terhidang ialah, agar tidak mengganggu kesempurnaan solat. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak mengganggu kesempurnaan (kekhusyukan) dalam solat, sekali pun makanan sudah terhidang.
MENCARI SEMANGAT RAMADAN
Siyam (berpuasa) dalam Bahasa Melayu bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam waktu yang ditetapkan. Daripada segi makan dan minum, perbezaan pada Ramadan juga dibandingkan selainnya, iaitu pada Ramadan, Muslim dilarang makan dan minum serta perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Ertinya, syiar atau pun suasana Ramadan bukanlah suasana pesta makan, sebaliknya ia adalah suasana Muslim tidak akan makan melainkan hanya pada waktu malam. Namun, keadaan yang sebaliknya kadang-kala berlaku dalam kehidupan kita pada Bulan Ramadan yang mulia. Jika seseorang bukan Muslim yang tidak tahu tentang Ramadan, datang ke negara kita dan melihat kemeriahan makan dan minum yang wujud, lalu kita memberitahu dia bahawa ini bulan puasa bagi Muslim, tentu sukar untuk dia mempercayainya. Ertinya, dia akan gagal melihat suasana puasa yang sebenar.
"Jangan Berlebihan"
Setibanya Ramadan, kita seakan mewujudkan satu keadaan yang mengurangkan atau melonglaikan syiar atau pun roh (semangat) Ramadan (The spirit of Ramadan) yang patut dibina. Orang berpuasa yang tidak makan dan minum, bukan kerana dia sakit sehingga tidak dapat makan dan minum, atau pun kerana ketiadaan makan. Sebaliknya, kerana dia mematuhi seruan Allah SWT. Orang yang berpuasa sebenarnya dididik oleh Syariat Islam untuk menahan diri melakukan sesuatu yang dilarang sekali pun kita berkemampuan melakukannya. Inilah antara tarbiah Ramadan kepada jiwa insani. Maka, semangat ini sepatutnya dibawa terus apabila kita berbuka. Kita makan dan minum dengar kadarnya (tidak berlebihan). Bukan kerana kita tidak mampu terus makan, atau pun tidak mampu membeli, tetapi kerana mematuhi arahan Allah SWT: (maksudnya) “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).
Moga roh (semangat) Ramadan ini dapat dibawa dalam amalan (kehidupan) kita. Kita cuba menahan diri daripada melakukan larangan tuhan, sekali pun kita mampu. Bukan kerana tidak berpeluang, tetapi kerana roh yang dididik dan nafsu yang ditundukkan. Demikian juga agar kita tidak berlebihan (melampaui batasan yang patut) dalam sesuatu perkara, tidak fanatik dan tidak berlebihan menghukum pihak yang berbeza, tidak berlebihan dalam kemewahan, tidak berlebihan dalam hiburan dan seterusnya tidak berlebihan dalam kehidupan.
"Jangan Bidaah"
Demikian juga tidak berlebihan dalam ibadah sehingga terkeluar batasan yang patut, atau pun melakukan bidaah dalam ibadah. Justeru, kita berpuasa dan berbukalah. Sesiapa yang terus ingin berpuasa setelah masuk waktu berbuka, dia telah melakukan bidaah. Dia tidak mendapat pahala sekali pun niatnya baik ingin mendapat pahala. Sebaliknya, dia akan mendapat dosa kerana telah melanggar batasan yang ditetapkan iaitu kaifiat (cara) ibadah yang telah Allah SWT tentukan kepada hamba Nya. Dia menokok tambah apa yang tidak ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan seakan ajaran Allah SWT dan Rasul Nya tidak memadai. Perbuatan seumpama itu seakan sikap tidak puas hati terhadap Islam yang asal.
Demikianlah, sepatutnya roh berpuasa ini perlu dihayati dalam ibadah yang lain agar kekal dengan cara yang asal seperti ditunjukkan Nabi SAW. Baginda Nabi SAW mengingatkan bahawa, sesiapa yang ingin beribadah melebihi kadar yang baginda tunjukkan, dia akan terkeluar daripada menjadi pengikut baginda. Lihatlah reaksi Nabi SAW kepada mereka yang berkata: “Ada pun aku, maka akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang lain lagi: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya”. Maka Rasulullah SAW datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepada Nya dalam kalangan kamu. Namun, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling daripada sunnah ku maka dia bukan dalam kalangan ku.” (Riwayat al-Bukhari).
"Jaga Pahala"
Demikian semangat Ramadan juga menuntut untuk kita berusaha menjaga pahala puasa agar tidak berkurangan. Demikian sepanjang hidup, kita patut berusaha mengelakkan ucapan dan perbuatan yang dapat mengurangkan pahala. Ini kerana ramai orang yang beramal tetapi kehilangan pahala kerana terbabit dengan dosa terhadap orang lain. Nabi SAW mengingatkan kita dalam hadis baginda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka (sahabat): “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umat ku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, dan juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).
"Memelihara kemuflisan pahala pada Bulan Ramadan". Puasa sebenarnya satu latihan (tarbiah) dalam hidup Muslim. Ia seperti sebuah institusi (madrasah) latihan yang bertujuan membentuk disiplin para peserta. Bukan sekadar untuk diamalkan ketika berkursus sahaja, tetapi untuk dibawa ke dalam kehidupan sebenar selepas kursus. Demikian haji dan juga umrah. Seseorang yang sedang berada dalam ibadah ini disuruh mematuhi taboo (pantang larang) tertentu. Maka seseorang yang berpuasa, atau pun yang berada dalam ihram haji dan umrah tidak boleh bertengkar dalam perkara yang sia-sia, tidak boleh mencerca, tidak boleh mengucapkan perkataan yang buruk serta lain-lain larangan berkaitan.
"Mendisiplinkan Diri"
Walaupun perkara itu sememang tidak patut dilakukan dalam semua keadaan, namun oleh kerana ramai manusia yang gagal mematuhi arahan Allah SWT tersebut, maka setiap tahun dalam Bulan Ramadan, Muslim dimasukkan ke dalam pusat latihan (tarbiah). Ramadan adalah untuk mereka kembali menghayati disiplin tersebut. Ia satu program latihan Ilahi (tarbiah rabbaniyyah atau divine training). Demikian juga bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah. Namun, tempoh Ramadan lebih panjang dari haji dan umrah. Satu latihan Ilahi selama sebulan bagi membolehkan Muslim berdisiplin dalam menjalani kehidupan dalam sebelas bulan yang lain. Muslim diajar dalam tempoh latihan ini untuk menjaga tindakannya demi memelihara pahala ibadahnya. Jika dia gagal, dia akan kehilangan pahala dan kehalusan jiwa mendekati Allah SWT.
Sabda Nabi SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekali pun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad di tangannya, maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah SWT daripada bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah SWT dia merasa gembira dengan puasanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
"Kehilangan Pahala"
Kehilangan pahala adalah sesuatu yang amat merugikan. Jika kita faham betapa berertinya pahala bagi seorang insan yang akan bertemu tuhan, kita akan dapat menilai besarnya erti pahala. Pahala membawa kita ke syurga, sementara dosa akan membawa kita ke neraka. Jika puasa itu diandaikan sebagai satu pekerjaan dan pahala sebagai gajinya, maka perlanggaran pantang larang itu sebagai pengurangan (pemotongan) gaji. Namun, perlu setiap Muslim ingat bahawa pahala adalah lebih bererti daripada gaji dalam kehidupan duniawi ini. Ramai orang yang beramal dalam dunia ini pulang kepada Allah SWT pada Hari Kiamat kelak dalam keadaan muflis kerana kehabisan pahala (amalan kebaikan) disebabkan dosa-dosanya terhadap orang lain.
"Pelihara Lidah"
Lidah adalah punca terbesar seseorang Muslim kehilangan pahala. Jika puasa dapat mendidik lidah kita daripada mencerca, berdusta, menuduh dan memaki hamun orang lain, maka itu satu kejayaan yang besar bagi kita. Manusia yang beradab tidak mengeluarkan kata-kata kesat daripada mulutnya. Dia mungkin seorang yang tegas, pedas dan tajam penghujahannya, tetapi dia tidak boleh berdusta, tidak boleh mengeluarkan perkataan kesat dan buruk dalam berbicara. Muslim yang baik tidak menzalimi orang dengan lidah dan anggotanya, sama ada pada Ramadan, mahu pun selain Ramadan. Lebih buruk lagi bagi mereka yang memakai ‘jenama mufti, ustaz atau ustazah dan selainnya’, memaki orang dalam berbicara (percakapannya), apatah lagi dalam masjid pada Bulan Ramadan. Itu semua sangat hina dan jelik sekali. Dalam riwayat al-Tabarani daripada al-Mu’jam al-Kabir bahawa Nabi SAW pernah hadir dalam suatu majlis orang Ansar. Padanya ada seorang lelaki yang terkenal dengan suka memaki hamun. Nabi SAW pun bersabda: “Memaki orang Muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya perbuatan kufur”.
Ramadan mendidik kita menjaga perkataan. Ini termasuklah antara pasangan suami isteri. Ada orang yang memelihara lidahnya dari memaki orang lain, tetapi tidak kepada isterinya. Padahal kepada isteri lebih patut dijaga perkataan kerana dia seorang Muslimah dan ada perintah-perintah khusus dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk menjaga hubungan dengannya. Maka peliharalah pahala kita pada Ramadan dan seterusnya di luar Ramadan.
MENGHAYATI SAHUR
Puasa bukan satu penyeksaan. Islam mahu setiap Muslim berpuasa, tetapi dalam masa yang sama Islam tidak mahu menjadikan Ramadan satu bulan yang mewujudkan suasana longlai dan lemah dalam kalangan umat Islam. Sebaliknya, ia merupakan bulan keinsafan yang cuba mendidik dan menjadikan Muslim merasai kesusahan mereka yang tidak mempunyai makanan serta betapa besarnya erti makanan, di samping puasa merupakan ibadah yang dalamnya terdapat amalan-amalan yang mana setiap Muslim disuruh mencontohi Nabi mereka SAW.
Antara sunnah utama puasa ialah bersahur. Makan pada penghujung malam, sebelum menjelang Waktu Subuh bukan satu kebiasaan kebanyakan manusia. Namun, atas titah perintah agama, Muslim melakukannya bagi menunaikan sunnah Nabi SAW dan padanya ada hikmat yang pelbagai bagi Muslim yang berpuasa. Ini termasuk memberikan kekuatan untuknya pada siang hari, juga melatihnya bangun pada waktu sebelum fajar untuk beribadah kepada Allah SWT. Ini disebut dalam Al-Quran: (maksudnya); “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Dalam hadis pula, Nabi SAW menyebut: “Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada Ku, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepada Ku, akan aku berikan Nya. Sesiapa yang memohon keampunan kepada Ku, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka bersahur itu membawa kita bangun pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Moga ia menjadi kebiasaan yang berterusan dalam kehidupan. Maka tidak hairan jika Nabi SAW berpesan: “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Keberkatan adalah sesuatu yang sangat penting dalam hidup. Kehidupan ini, jika hanya bergantung kepada nilai-nilai kebendaan semata, kita akan menemui pelbagai kusut masainya. Keberkatan, membawa cahaya kehidupan untuk insan mendapat limpah kurniaan tuhan melebihi kadar kebendaan (kehidupan materialistik) yang dirasainya. Sahur antara punca lahirnya keberkatan. Bagaimana? Allah SWT Maha Pemberi dengan cara yang dikehendaki Nya di luar daripada andaian kebanyakan kita.
Bila Sahur?
Ada orang yang bersahur terlalu awal, sedangkan Waktu Subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi SAW. Baginda Nabi SAW melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk Waktu Subuh. Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk Waktu Subuh. Selagi tidak masuk Waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Waktu Subuh adalah Waktu Imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu. Ini dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.a: “Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk Waktu Fajar (Subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda: “Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, atau pun warna putih sehinggalah kelihatan Waktu Fajar (Subuh)”.
Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih daripada benang hitam dari Waktu Fajar, kemudian sempurnakanlah puasa hingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Dengan Apa Bersahur?
Tujuan sahur bukan menyibukkan diri dengan hidangan. Makanan sahur memadai sesuatu yang memberikan kekuatan bagi orang yang akan berpuasa pada hari tersebut. Kesempatan sahur patut diambil untuk berdoa dan beristighfar setelah makan dan minum apa yang dapat memberi kekuatan pada hari tersebut. Sebab itu, dalam hadis disebutkan tamar sebagai pilihan sahur disebabkan kandungan tamar yang baik untuk tenaga orang yang berpuasa. Sabda Nabi SAW: Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Jika tiada tamar, seseorang boleh sahaja bersahur dengan apa yang memberikan kekuatan untuk berpuasa pada hari tersebut. Mungkin juga ada orang yang tidak gemar tamar, atau tidak sesuai tamar untuk kesihatannya, maka agama itu luas untuk diamalkan. Apa yang tidak dapat diamalkan secara literal, boleh dihayati secara maksud atau maqsad (kehendak) syarak di sebalik sesuatu galakan atau pun perintah.
BERSUGILAH
Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam sepanjang masa. Ini khususnya apabila kita beribadah kepada Allah, dan juga apabila kita bertemu dengan manusia lain. Islam memerintahkan kita menjaga hubungan baik dengan Allah, demikian juga kita menjaga hubungan baik sesama manusia. Kebersihan, wangian dan penampilan yang baik sesuatu yang menunjukkan penghormatan dan penghargaan kita kepada pihak yang ingin kita bertemu dengannya. Ini adalah tabiat manusia. Justeru, semasa solat kita diwajibkan menjaga kebersihan dan menutup aurat, juga disunatkan berwangian. Demikian ketika berjumpa dengan manusia. Pakaian yang sesuai dan memakai wangian adalah sunnah dalam bermasyarakat. Mereka yang mempunyai bau busuk dilarang datang ke tempat perhimpunan awam khususnya solat berjemaah. Sebab itu, tidak dibenarkan (sesiapa yang memakan bawang putih atau makanan yang lain yang mengeluarkan bau busuk) daripada menghadiri solat berjemaah. Ini kerana Islam ingin mengelakkan kita menyakitkan orang lain dan menimbulkan kebencian sesama manusia.
"Galakan Bersugi"
Islam menggalakkan bersugi (gosok gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari. Ini seperti sabda Nabi SAW: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apabila kita berpuasa, bau mulut kita akan bertambah. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah SWT tahu hakikat tersebut. Allah SWT Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari kerana Nya. Justeru, Nabi SAW bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah SWT daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti hati orang lain. Apatah lagi pada zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, atau membabitkan ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan Muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap Muslim yang berpuasa pada Bulan Ramadan atau pun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh daripada segi sifat semula jadi (neutral) agama ini. Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat, dan tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi SAW. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka, ia tidak boleh menjadi hujah. Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk Bulan Ramadan.
"Bukan Hujah"
Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi SAW bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain, namun lebih kuat (kurang daif daripadanya) iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).
Apa pun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan Muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira sama ada puasa atau tidak berpuasa. Nabi SAW dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
Justeru, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat. Oleh itu, jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah.
SINARI RAMADAN
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad di tangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah SWT daripada bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah SWT dia merasa gembira dengan puasanya."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
~ Gambar Hiasan ~