Akal Mengukur Maklumat.

Masalah paling besar dalam kalangan sesetengah yang memakai gelaran ‘agamawan’ atau tokoh agama adalah apabila mereka tidak memiliki manhaj atau method yang betul dalam memahami sesuatu fakta yang dikaitkan dengan Islam ini.
Lalu, atas kurang teliti, atau ‘kurang fikir’ atau ‘memang tak fikir’ mereka menelan semua perkara yang dikaitkan dengan agama samada hasil percakapan orang atau bahan bacaan. Dari situlah lahirnya khurafat, karut marut, tokok tambah, kekartunan pemikiran yang diberikan lebel agama.
Jika hal itu berterusan, maka kekeliruan terhadap agama akan berkembang lantas agama akan dipersenda dan didustai.
Inilah yang terjadi kepada agama Kristian di Barat pada hari ini sehingga penghormatan para penganutnya terhadap perlambangan utama agama tersebut; termasuk Tuhan dan Jesus menjadi bahan sendaan dan mainan. Ini kerana ajaran agama di Barat gagal menghadapi perkembangan akal kritis yang ada dalam kalangan mereka.
Ini berbeza dengan negara-negara yang rakyatnya berjiwa feudal, atau rakyatnya diharamkan berfikir lalu mereka menelan segala perkara, samada benar ataupun salah tanpa mampu, atau mahu berfikir. Inilah yang terjadi kepada penganut berhala totok yang menyembah apa sahaja yang terlintas atau difikirkan ajaib. Sesiapa yang pergi ke India akan dapat melihat kemandulan akal dalam beragama.
Sesuatu riwayat atau kisah atau matan yang hendak dianggap benar untuk dikaitkan dengan Islam dinilai secara kritis sejauh manakah kesahihan maklumat tersebut. Ini mesti dilihat kepada sumber maklumat; samada ia berasal daripada al-Quran dan al-Sunnah atau tidak?
Sementara jika riwayat itu bersumberkan hadis atau athar; hendaklah dipastikan ia riwayat yang diterima di sisi ilmu periwayatan. Bukan riwayat yang para perawi atau periwayatnya ditolak.
Setelah proses ini dilepasi, dinilai pula sejauh manakah kemunasabahan sesuatu teks atau riwayat itu. Adakah ia bertentangan dengan al-Quran, atau realiti yang nyata, atau sejarah yang tidak dipertikaikan, atau akal yang disepakati? Jika ini berlaku dan tiada jalan keluar untuk menserasikannya, maka riwayat itu ditolak.
Contohnya cerita bahawa Bahtera Nabi Nuh a.s. tawaf ka’bah dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nabi Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s. Sementara Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim dan Makam Ibrahim mengambil sempena nama Nabi Ibrahim a.s.
Di mana Kaabah dan makamnya ketika itu untuk Bahtera Nuh bertawaf? Dengan itu para ulama hadis hadis menolak cerita ini. Termasuk yang menempelak riwayat tersebut al-Imam al-Syafi’I (al-Jurjani, al-Kamil fi Du’afa al-Rijal, 4/270, Beirut: Dar al-Fikr). Malang sekali, masih ada penceramah agama yang mendendangkan kisah karut ini.
Beberapa email saya terima mengadu mengenai sebuah tulisan dalam akhbar ini yang menyatakan tentang sunat membuat bubur pada sepuluh Muharram kerana mengenangkan peristiwa pembunuhan Saidina Husain bin ‘Ali r.huma. Ada yang bimbang masuknya unsur syiah ke dalam masyarakat yang tidak diajar menilai sesuatu dengan kritis.
Saya kata; kita tidak bimbang asal-usul sesuatu unsur pemikiran atau kefahaman dari mana datangnya. Selagi ia benar atau bertepatan dengan fakta, datanglah dari mana sahaja, sekalipun dari Yahudi. Kebenaran tidak memilih bulu. Apa yang dibimbangi adalah unsur tersebut terpinggir jauh dari kebenaran.
Soal kelebihan amalan atau fadilat adalah ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Dalam riwayat sahih yang manakah yang menyebut kelebihan membuat bubur hitam atau merah atau apa warna sahaja pada Hari ‘Asyura? Yang pasti ia tidak pernah ada. Apatahlagi peristiwa pembunuhan Husain bin ‘Ali berlaku pada tahun 61H, di zaman pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/258, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Terlajak membicarakan tentang pembunuhan cucunda Nabi s.a.w ini, al-Husain bin ‘Ali yang amat kita cintai, ingin saya jelaskan bahawa ahli-ahli sejarah ramai yang berpendapat bukan Yazid yang membunuhnya seperti yang didakwa. Saya ingin memetik apa yang diulas oleh sejarahwan besar, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H):
“Orang ramai mempunyai berbagai pendapat tentang Yazid bin Mu’awiyah. Ada yang mencintai dan mengangkatnya iaitu segolongan penduduk Syam yang beraliran Nasibiyyah. Adapun golongan Syiah Rafidah, mereka mengejinya dan mengada-adakan berbagai pembohongan yang Yazid tidak lakukan. Ramai mereka menuduhnya zindiq (kafir yang berpura muslim). Dia tidak sampai begitu. Sementara pihak yang lain, tidak menyukainya dan tidak pula mencercanya. Ini kerana mereka tahu dia bukan zindik seperti yang dituduh oleh golongan Syiah Rafidah, namun pada zaman pemerintahannya berlaku berbagai peristiwa yang jelek dan perkara-perkara yang dibantah, hodoh dan keji. Paling teruk adalah pembunuhan Husain bin ‘Ali di Karbala. Namun dia tidak tahu (mengarahkannya) dan barangkali dia tidak meredhainya” (al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/256).
Kata tokoh pengkaji hadis al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):
“Tidak sahih di sisi kami bahawa Yazid memerintahkan agar dibunuh al-Husain r.a. Riwayat mereka yang dipercayai bahawa perintah agar dibunuh al-Husain dari orang yang mengepalai dalam pembunuhannya iaitu `Ubaid Allah bin Ziyad, gabenor Iraq ketika itu” (Ibn Tulun, Qaid al-Syarid min Akhbar Yazid m.s. 57, Kaherah: Dar al-Sahwah, Kaherah).
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) mempunyai ulasan yang menarik, katanya:
“Apabila kaum keluarga Husain datang kepada Yazid, dia memuliakan mereka dan mengiringi mereka ke Madinah. Diriwayatkan dia melaknat Ibn Ziyad atas pembunuhan al-Husain. Katanya: “Aku meredhai ketaatan penduduk Iraq tanpa membunuh al-Husain”. Namun begitu beliau tidak menampakkan bantahannya, membela kematiannya dan mengambil tindakan membunuh balas sedangkan itu adalah kewajipannya. Maka dengan itu, pendokong kebenaran mengutuknya disebabkan dia meninggalkan kewajipan di samping perkara-perkara lain. Adapun musuh-musuhnya mereka menokok tambah pendustaan ke atasnya berbagai-bagai lagi” (Ibn, Taimiyyah, Majmu’ al-Fatwa, 2/253, Riyadh: Maktab al-‘Abikan).
Unsur syiah bukan baru dalam masyarakat kita, walaupun ia belum lagi keterlaluan. Ini dapat dilihat bagaimana orang melayu menamakan akar-akar kayu dengan nama ‘Ali dan Fatimah; seperti tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Tidak dinamakan tongkat Abu Bakr atau ‘Umar, tidak juga Kacip ‘Aishah, atau Habsah.
Dalam jampi juga ada menyebut: “fu kiri, fu kanan, berkat doa baginda ‘Ali”. Jika sekadar nama ‘Ali atau Fatimah tiada salahnya. Mereka ialah kaum keluarga Nabi s.a.w yang amat kita kasihi. Sebaliknya yang ditakuti apabila perkara yang tidak agama dianggap agama dalam Islam. Itu yang menakutkan.
Sehingga di Pakistan, Iraq, Iran dan kawasan-kawasan yang kuat pegangan Syiahnya, pada hari ‘Asyura mereka mencederakan diri masing-masing dengan alatan tajam kerana mengenangkan Saidina Husain dan kekejaman Yazid. Ribuan bahkan ratus ribu kaum Syiah berkumpul pada sepuluh Muharram saban tahun melukai tubuh dengan darah dan membasahi pipi dengan airmata mendendami Yazid dan mengenang al-Husain bin ‘Ali.
Lalu peristiwa hitam semalam, terus menjadi dendam hingga ke hari ini. Siapakah sasarannya? Apapun jawapannya, ia adalah antara sebab terpisahnya sunni dan syi’ah. Satu ajaran yang hidup dalam nostagia luka yang sebahagiannya mungkin benar, sebahagiannya mungkin palsu.
Apapun, saya tidak dapat bayang jika seseorang yang ingin menganut Islam hadir menyaksikan upacara yang dikaitkan dengan Islam yang dipenuhi manusia yang mencedera dan melukai diri sendiri, apakah dia akan terus menganggap agama yang membangunkan akal dan jiwa, mudah dan lurus mencapai Tuhan?
Atau mungkin dia tidak dapat membezakan antara ajaran Kristian yang mendakwa darah Jesus terpaksa ditumpah untuk menebus dosa manusia, atau mungkin dia akan keliru dengan agama sesat yang menyuruh penganutnya berjalan atas api dan melukai diri untuk menunaikan nazar atau menebus dosa? Saya tidak pasti. Apa yang pasti itu bukan sifat Islam seperti yang terkandung indah dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Al-Basmalah

- Basmalah -

Adakah ia satu ayat daripada ayat-ayat Al-Quran?
Seluruh umat Islam telah bersepakat (ijma’) bahawa basmalah yang terdapat di dalam surah An-Naml adalah ayat Al-Quran.

Firman Allah S.W.T:
Terjemahan: “Sesungguhnya surat itu dari (Nabi) Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani” (An-Naml:30)
Apabila seorang itu memulakan bacaannya di pertengahan surah, maka dia boleh memilih untuk membaca basmalah atau meninggalkannya. Oleh itu, barangsiapa yang mengengkari Qurannya basmalah dalam ayat tersebut boleh menyebabkan dia terkeluar daripada Islam.
Namun para ulama sejak zaman berzaman telah berbeza pendapat tentang basmalah pada selain daripada ayat 30 surah An-Naml itu. Adakah ia satu ayat yang tersendiri dalam Al-Quran, atau ia adalah ayat pertama bagi setiap surah Al-Quran (kecuali surah At-Taubah), atau ia hanyalah ayat pertama bagi surah Al-Fatihah tapi bukan untuk yang lain, atau ia memang bukan ayat Al-Quran (kecuali ayat 30 surah An-Naml)?
Pendapat pertama: Basmalah adalah ayat pertama bagi surah Al-Fatihah dan surah-surah lain dalam Al-Quran.
Pendapat ini disandarkan kepada Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Towus, ‘Ata’, Makhul, Abdullah Bin Al-Mubarak, Qurra’ (ulama Al-Quran) Makkah dan Kufah, juga salah satu As-Syafi’e.
Pendapat kedua: Basmalah hanya ayat pertama Al-Fatihah sahaja bukan untuk surah-surah yang lain.
Pendapat ini dinisbahkan kepada Ali Bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, Abu Hurairah, Sa’id Bin Jubair, Sufyan Ath-Thauri, Ahmad Bin Hanbal, sebilangan ulama Kufah dan Makkah. Ia juga salah satu pendapat As-Syafi’e.
Pendapat ketiga: Basmalah bukan satu ayat daripada Al-Quran.
Pendapat ini disandarkan kepada Al-Khulafa’ Ar-Rasyidin, Ibn Mas’ud, ‘Ammar Bin Yasir, Al-Hasan Al-Basri, Syu’bah, juga pendapat Al-Auza’ie, Abu Hanifah, Malik, Daud Az-Zahiri dan satu riwayat daripada Ahmad. Ia juga pendapat Qurra’ Madinah, Basrah dan Syam.
Pendapat keempat: Basmalah bukan sebahagian daripada surah Al-Quran, tetapi ia adalah ayat Al-Quran yang berasingan daripada surah.
Ini disebutkan oleh sebahagian ulama mazhab Hanafi seperti Al-Jassas.
Tarjih:
Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh semua pihak, pendapat yang paling kukuh ialah menggabungkan antara pendapat kedua dan keempat. Basmalah adalah ayat pertama surah Al-Fatihah sahaja, bukan untuk surah-surah lain, tetapi ia adalah ayat yang berasingan yang memisahkan antara surah.
Dalil Basmalah ayat pertama Al-Fatihah:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهُ -صلى الله عليه وسلم- :« إِذَا قَرَأْتُمُ الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاقْرَءُوا (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) إِنَّهَا أُمُّ الْقُرْآنِ وَأُمُّ الْكِتَابِ وَالسَّبْعُ الْمَثَانِى وَ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) إِحْدَاهَا ».
Terjemahan: Daripada Abu Hurairah r.a, katanya: Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Apabila kamu membaca (الحمد لله) bacalah (بسم الله الرحمن الرحيم). Sesungguhnya ia (Al-Fatihah) adalah Induk Al-Quran dan Induk Al-Kitab dan Tujuh Ayat yang diulang-ulang, dan (بسم الله الرحمن الرحيم) satu ayat daripadanya.”
(Hadith riwayat Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra, dan disahihkan oleh Al-Albani)
Dalil Basmalah bukan ayat pertama surah lain dari Al-Fatihah:
عَن أَبِي هُرَيْرَةَ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ سُورَةً مِنْ الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِرَجُلٍ حَتَّى غُفِرَ لَهُ وَهِيَ سُورَةُ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ.
Terjemahan: Daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi S.A.W, sabdanya: “Sesungguhnya suatu surah daripada Al-Quran ada 30 ayat, disyafaatkan untuk seorang lelaki hingga diampunkan baginya. Surah itu ialah surah Tabaraka llazi biyadihil Mulk (Al-Mulk).”
(Hadith riwayat At-Tirmizi dan beliau menghasankannya, kata Al-Hakim: sahih isnadnya, dan ia juga dihasankan oleh Al-Albani)
Ijma’ umat Islam bahawa surah Al-Mulk mengandungi 30 ayat tanpa mengira basmalah.
Dalil Basmalah ayat Al-Quran yang berasingan:
عَنْ أَنَسٍ قَالَ بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ بَيْنَ أَظْهُرِنَا إِذْ أَغْفَى إِغْفَاءَةً ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ مُتَبَسِّمًا فَقُلْنَا مَا أَضْحَكَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ « أُنْزِلَتْ عَلَىَّ آنِفًا سُورَةٌ ». فَقَرَأَ « بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ) ». ثُمَّ قَالَ « أَتَدْرُونَ مَا الْكَوْثَرُ ».
Terjemahan: Daripada Anas, katanya: ketika kami bersama Rasulullah S.A.W pada suatu hari, baginda tersenyum, lalu kami bertanya: Apakah yang menggembirakanmu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “diturunkan kepadaku sebentar tadi suatu surah” lalu baginda membaca: (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ)(Hadith riwayat Muslim)
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ الْمُسْلِمُونَ لاَ يَعْلَمُونَ انْقِضَاءَ السُّورَةِ حَتَّى تَنَزَّلَ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) فَإِذَا نَزَلَ (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) عَلِمُوا أَنَّ السُّورَةَ قَدِ انْقَضَتْ.
Terjemahan: Daripada Ibn ‘Abbas r.a katanya: “Adapun orang-orang Islam tidak mengetahui tamatnya suatu surah itu hinggalah turun (بسم الله الرحمن الرحيم), maka apabila turun (بسم الله الرحمن الرحيم) merekapun mengetahui bahawa surah itu sudah tamat.”(Hadith riwayat Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, katanya: sahih dengan syarat Al-Bukhari dan Muslim)
Peringatan:
i. An-Nawawi menegaskan bahawa persoalan membaca basmalah samada secara jahar (jelas) atau sirr (perlahan) tidak berkaitan dengan persoalan mengithbatkan basmalah sebagai ayat Al-Quran.
ii. Sekalipun para ulama berbeza pendapat tentang status basmalah tetapi mereka sepakat untuk mengithbat penulisannya pada awal setiap surah kecuali surah At-Taubah.
iii. Seluruh umat juga bersepakat bahawa tidak dihukum kafir orang yang mengithbatkan basmalah sebagai ayat Al-Quran atau yang menafikannya (kecuali An-Naml:30). Ini berbeza dengan orang yang menafikan walau satu huruf dari Al-Quran yang diijma’kan atau yang mengithbatkan suatu huruf yang memang sepakat ia bukan Al-Quran. Kedua-dua hal ini menyebabkan kufur –secara ijma’-. Ini yang disebut oleh As-Syaukani.

B) Hukum membaca basmalah pada setiap surah di luar solat.
Sebahagian besar ulama menyatakan bahawa dimustahabkan untuk membacanya di awal setiap surah. Ini kerana dalil-dalil menunjukkan ia dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Ini juga berdasarkan pendapat bahawa basmalah adalah ayat yang bersendirian yang diletakkan untuk memisahkan antara surah dan dibaca untuk keberkatan.
Bagaimanapun basmalah tidak dibaca pada awal surah At-Taubah dengan sepakat ulama. Cuma apabila memulakan bacaan dipertengahan surah At-Taubah, sebilangan ulama menyatakan membacanya lebih baik. Namun Al-Ja’bari melarang daripada membacanya walaupun dimulakan di pertengahan surah sebagaimana ia dilarang di awalnya.
C) Hukum membaca basmalah pada surah dalam solat.
Perbezaan pendapat ulama tentang adakah basmalah ayat pertama bagi surah Al-Fatihah dan surah-surah yang lain membawa kepada persoalan berikutnya iaitu: adakah perlu dibaca basmalah ini setiap kali membaca awal surah dalam solat?
Pendapat pertama: Mazhab Maliki melarang membaca basmalah di dalam solat fardhu, tidak kira samada secara jahar mahupun sirr, samada pada surah Al-Fatihah mahupun surah-surah yang lain. Tetapi mereka membenarkan basmalah dibaca dalam solat-solat sunat seperti Tarawih dan sebagainya.
Pendapat kedua: Abu Hanifah menyatakan bahawa basmalah dibaca secara sirr dalam setiap rakaat solat.
Pendapat ketiga: As-Syafi’ie mewajibkan bacaan basmalah bagi permulaan Al-Fatihah. Ia dibaca secara jahar bagi solat yang jahar dan dibaca secara sirr bagi solat yang sirr. Jika ditinggalkan, solat itu perlu diulangi.
Pendapat keempat: Ahmad Bin Hanbal menyatakan basmalah dibacakan secara sirr dan tidak disunatkan untuk dibaca secara jahar.
Pendapat kelima: Towus menyatakan basmalah dibaca hanya pada Al-Fatihah tapi tidak pada surah-surah yang lain.
Kesimpulan:
1. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa basmalah dibaca pada awal surah Al-Fatihah samada hukumnya wajib ataupun sunat.
2. Bagi ulama yang mengira basmalah sebagai ayat pertama Al-Fatihah, mereka mewajibkannya tetapi tidak untuk surah yang lain.
3. Mereka yang menganggap basmalah ayat yang bersendirian menyatakan sunat dibaca pada awal setiap surah. Tetapi ada juga yang mewajibkannya untuk Al-Fatihah kerana Rasulullah S.A.W sentiasa membacanya di awal Al-Fatihah.
4. Ulama yang menganggap basmalah bukan ayat Al-Quran, melarang dari membacanya.

D) Membaca basmalah secara jahar atau sirr
Sebagaimana yang lalu, kebanyakan ulama mengithbatkan bacaan basmalah ini dalam solat samada kerana menganggapnya ayat Al-Quran atau kerana dalil-dalil yang menunjukkan nabi sentiasa melakukannya. Bagaimanapun mereka masih berselisih tentang cara membacanya, adakah secara jahar atau secara sirr?
Pendapat pertama: Bagi ulama yang menganggapnya bukan ayat Al-Quran, basmalah tidak dijaharkan.
Pendapat kedua: Bagi para ulama yang menganggap basmalah sebagai ayat pertama bagi surah-surah termasuk Al-Fatihah, mereka terbahagi dua.
Pertama yang menyatakan perlu dijaharkan, kedua yang menyatakan tidak dijaharkan.
Untuk memilih pendapat yang lebih kuat hendaklah diteliti dalil-dalil yang dikemukakan.
Dalil basmalah dibaca jahar:
i. Ia adalah ayat pertama Al-Fatihah, justeru ia perlu dibaca jahar seperti ayat-ayat yang lain.
ii. Hadith Nu’aim Al-Mujmir, katanya:
صَلَّيْتُ وَرَاءَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَقَرَأَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ثُمَّ قَرَأَ بِأُمِّ الْقُرْآنِ حَتَّى إِذَا بَلَغَ{ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } فَقَالَ آمِينَ فَقَالَ النَّاسُ آمِينَ وَيَقُولُ كُلَّمَا سَجَدَ اللَّهُ أَكْبَرُ وَإِذَا قَامَ مِنْ الْجُلُوسِ فِي الِاثْنَتَيْنِ قَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ وَإِذَا سَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنِّي لَأَشْبَهُكُمْ صَلَاةً بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Terjemahan: “Aku telah solat di belakang (menjadi makmum) Abu Hurairah r.a, lalu beliau membaca (بسم الله الرحمن الرحيم) kemudian beliau membaca Ummul Quran hinggalah beliau sampai pada (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ) beliau berkata: (آمِينَ) dan orang ramaipun menyebut (آمِينَ), dan apabila sujud menyebut (اللَّهُ أَكْبَرُ) dan apabila bangun dari duduk rakaat kedua (اللَّهُ أَكْبَرُ), dan sebaik selesai memberi salam, beliau berkata: “dan demi Tuhan yang jiwaku ditangan-Nya, sesungguhnya aku adalah yang paling menyerupai solat Rasulullah S.A.W”.(Hadith riwayatAn-Nasa’ie. Kata Al-Albani: isnadnya dha’if).
Dalil basmalah tidak dibaca jahar:
i. Hadith Anas Bin Malik r.a:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم،
Terjemahan: “Bahawasanya Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar memulakan solat dengan
(الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ).(Muttafaqun ‘alaihi)
Hadith ini ditafsirkan oleh beberapa hadith lain, iaitu:
ii. Kata Anas r.a:
صَلَّيْتُ مَعَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ , فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ يَقْرَأُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Terjemahan: “Aku solat bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman, maka aku tidak mendengar seorangpun daripada mereka yang membaca (بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ )
(Hadith riwayat Al-Bukhari)
iii. Kata Anas r.a:
صَلَّيْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكَانُوا يَسْتَفْتِحُونَ بِ ” الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ “, لا يَذْكُرُونَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فِي أَوَّلِ قِرَاءَةٍ وَلا فِي آخِرِهَا
Terjemahan: “Aku solat di belakang Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman, maka mereka memulakan solat dengan (الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ). Mereka tidak membaca (بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ) di awal bacaan mahupun di akhirnya.”(Hadith riwayat Muslim).
iv. Kata Anas r.a:
صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَخَلْفَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَكَانُوا لَا يَجْهَرُونَ بْ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Terjemahan: “Aku solat di belakang Nabi SAW dan di belakang Abu Bakar, Umar dan Uthman, maka mereka tidak menjaharkan (بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ).(Hadith riwayat Ahmad, An-Nasa’ie dan Ibn Khuzaimah).Dalam riwayat lain di sisi Ibn Khuzaimah:
كَانُوا يُسِرُّونَ